Pengenalan  10503 reads

PENGENALAN DAERAH TUARAN

Daerah Tuaran terletak di bahagian persisir Pantai Barat Negeri Sabah, menuju ke Bahagian Pantai Barat Utara negeri dari Bandaraya Kota Kinabalu. Ia merangkumi empat daerah kecil iaitu Tuaran, Tamparuli, Tenghilan, dan Kiulu dengan keluasan keseluruhannya seluas 1166 km persegi dan jumlah penduduk seramai lebih dari 126,000 orang (anggaran pada tahun 2011 melalui laman web Pejabat Daerah Tuaran).

Tiga suku kaum utama yang menetap di daerah ini ialah kaum Kadazan Dusun, Bajau dan Cina. Manakala pekerjaan utama penduduk ialah petani, nelayan dan peniaga. Asal-usul perkataan Tuaran dikatakan berasal daripada perkataan “Tawaran” di mana pada suatu ketika dahulu penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum membuat pertukaran hasil tani dan laut dengan lain-lain hasil pada hari tamu secara tawar-menawar (Barter Trade). Lama-kelamaan perkataan “Tawaran” telah bertukar menjadi “Tuaran” dan kemudiannya diambil sebagai nama bagi daerah ini.



PENGENALAN HOSPITAL TUARAN

Perkhidmatan Kesihatan telah bermula di Daerah Tuaran seawal tahun 1933. Pada ketika itu ia hanya dikenali sebagai Dispensari Tuaran yang dibina oleh British Charted Company dan dikendalikan oleh seorang “Dresser” (Penolong Pegawai Perubatan) dan seorang “Attendant” (Pembantu Perawatan Kesihatan).

Sehingga pada tahun 1989, kerajaan di bawah Pengurusan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah menggantikan Dispensari Tuaran dengan menyewa sebuah bangunan kedai dan dinamakan Poliklinik Tuaran sementara menunggu Hospital Tuaran Fasa I yang siap dibina dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 1993 dan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu YB Dato’ Lee Kim Sai pada 8 April 1994.

Hospital Tuaran Fasa II mula dibina pada November 2010 dan siap pada Februari 2014. Perkhidmatan perawatan yang baru disediakan melalui bangunan baru ini adalah Dewan Bedah, Wad Lelaki (Kenanga 2B), Wad Perempuan (Kenanga 2A), Wad Kanak-kanak (Wad Melor), Wad Bersalin (Kenanga 3A) dan Dewan Bersalin. Perkhidmatan sokongan klinikal yang baru turut disediakan adalah Unit Forensik, Unit Sajian dan Dietetik, Unit Bekalan Bahan Steril dan Pekerja Sosial Perubatan. Perkhidmatan kepada kakitangan juga tidak dilupakan dengan pewujudan Perpustakaan, Unit Teknologi Maklumat dan Unit Keselamatan. Hospital Tuaran Fasa II dirasmikan pada 17 September 2015 oleh Menteri Kesihatan Malaysia pada ketika itu YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. 
Print article